Posted by: aisyahalhumaira | J000000Khamis07 20, 2007

Cerpen : Darul Taqwa & Datuk Dr Johar

Oleh : Unknown (kpd tuan punya cerita, harap halalkan)

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

“Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman.”

Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini.

“Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik,” kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.

Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini . Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka…Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.

“Hoi budak, Aku dimana sekarang ?” soalnya kepada budak yang menegurnya tadi.

Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba- tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

“Assalamualaikum. …Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman…. Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali.”

Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ?

” Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? ” tanyanya angkuh.

“Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat,” kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

“Oh, oh …. maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?” Tanya pegawai itu pula.

Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula – Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

“Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. “

“Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti darul Taqwa.”

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan.

“Di mana aku sebenarnya ni?” Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit ditengah bandar Kuala lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.

“Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini.”

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.

“Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat…” Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh.Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa.

“Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di hukum di Akhirat!” rayu lelaki itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas …Lega.Dahaga , lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :

“Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!”

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah.Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga.

“Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki.”

“Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan.”Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya.

“Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!”. Lelaki itu tersenyum.

“Empat puluh tahun yang lalu adalah.Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad,pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women’s Libs.Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,”terangnya. Mukanya jernih.Serban dan jubahnya serba putih.

“Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni…”

“Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu… Subhanallah. …” Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk.

“Nasi beriani sepinggan !”ujarnya kepada pelayan.

“Dalam pinggan, tuan?” tanya pelayan itu kehairanan.

“Ya ! Apa peliknya?”,

“Baik,tuan.Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?” tanya pelayan berkulit hitam itu.

Dia tambah geram.direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.

“Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki,” kata pelayan itu dengan sopan.

Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

” Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, ” ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja

“Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?”tanya sahabatnya di sebelah.Dia nampak simpati.
Datuk Dr. Johar pasang telinga saja.

“Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit …malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana ” Keluhnya.

“Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita.Tolonglah terima sedekah kita.Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita.”

“Oh…” keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.

“Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian- kementeriannya. … saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat,” kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan -lahan.

Datuk Dr.Johar makin pelik.

“Tambah nasi sepinggan lagi!” ujarnya kepada pelayan restoran.

“Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan … berhentilah sebelum kenyang.Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ….,” kata pelayan itu lagi.

“Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!” bentaknya. Marah campur geram.

“Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital”

“Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?” leternya perlahan-lahan.

“Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya. ….”

“Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang …Di mana boleh saya dapati ?” tanyanya.

“Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.”

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan . Dalam skrin timbul tajuk besar- KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN , IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh…Oh … seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit.

Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar. Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: RAJA’. kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti… FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADIï.. Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni?

“Tak ada lagu yang hot sikit ke?” tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.

“Nanti ya pakcik . Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.Top-hit anak-anak muda sekarang…”

“Ya, ya saya setuju,” balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu.
Ayat suci Al-Quran a…

“Eh …ni suara orang mengaji,”

“Nanti dulu pakcik,selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya,” kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia.

Kemudian getaran suara bergema

…. Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu
mendamba kasih yang tidak berhujung
mengutip sayang di hamparan cinta suci.
Inilah getaran hatiku memburu cinta…….
stanza hati merindu Ilahi!”

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.

“Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah …”

Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata

” Saya bayar dengan kad kredit saja!” Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.

“Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah.”

“Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri.”

” Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka.”

“Ah, aku tak nak dengar semuanya.makin gila aku dibuatnya,” pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi.

Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan ‘MAKRUFAT AIR TRANSPORT’ sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas :” KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH “. Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah.

Isy,meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.

“Datuk..!Datuk. .! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !”

Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.

“Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? “tanya Datuk Dr. Johar.

“Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka tak mahu pilihanraya. ..”

“Habis, mereka mahu apa?”

“Mereka mahu Islam, Datuk!”

“Islam ? ” keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.

“ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG..ITULAH JANJI ILAHI”

“Pasakkan Sabat Teguhkan Istiqamah”

Posted by: aisyahalhumaira | J000000Ahad07 20, 2007

Foto : Sesuci Qalbu

…Hatimu sesuci kain putih…

p1010007.jpg

p1010065.jpg

av-979.jpg

normal_baby_muslimah.jpg

 

Posted by: aisyahalhumaira | J000000Ahad07 20, 2007

Foto : Renungilah

29667112859461l.jpg

credits : IMTIAZ ART STUDIO

 

4pu0dwj.jpg

credits : MFR STUDIO

Posted by: aisyahalhumaira | J000000Isnin07 20, 2007

Cerpen : Iman Syarmaini

Oleh : ryu (Teratak Santai)

Mata Iman tidak lekang memandang seorang gadis genit yang sedang memungut tin-tin kosong di satu sudut bangunan. Jari-jari comel gadis itu nampak sedikit kotor. Tidak tahu punca kekotoran itu. Samada habuk, minyak, tanah, atau apa jua yang boleh mencacatkan kebersihan jarinya. Iman masih leka memerhati. Tangan kanan gadis itu memegang plastik yang digunakan untuk dia mengisi tin-tin kosong. Plastik itu juga kotor tercalit kesan-kesan habuk dan tanah.. Tangannya nampak lincah menampakkan kepetahannya melakukan kerja itu.

Iman masih leka. Entah mengapa dia jadi seleka itu. Apa istimewanya gadis itu, entah! Hampir tidak ada sedikit istimewa pun. Perhatiannya ditangkap, atau memerangkap? Dia sendiri tidak pasti. Gadis itu hampir selesai dengan tugasnya. Mata gadis itu melilau ke kiri dan kanan masih mencari tin-tin yang bersisa. Setelah pasti, tiada tin yang tertinggal, dia berjalan perlahan meninggalkan tempat itu. Iman jadi tertanya, apa lagi yang patut dia lakukan? Mengikut gadis itu? Untuk apa? Namun hatinya seperti bermain-main. Atas urusan apa dia dengan gadis kecil itu? Iman melontar jauh mainan imaginasinya. Dia masih punya banyak urusan wajib yang lebih penting. Iman cuba berasional.

Seketika berpaling hendak membuka pintu kereta, Iman disapa oleh satu suara halus dari belakang.

“Assalamualaikim abang.”

Lembut suara itu menegur. Iman berpaling, gadis kecil tadi. Untuk apa dia menegur Iman?

“Waalaikumsalam..ye, kenapa dik?”

Iman menjawab dengan tanda tanya di dalam minda. Sekarang dia nampak dengan jelas wajah gadis itu. Bermata bulat dan berambut lurus walau nampak sedikit kusut. Tatkala bertutur, sepasang lesung pipit terbit dari kedua belah pipinya yang agak cengkung. Kulitnya gelap kerana hangus matahari. Comelnya sedikit luntur dek calitan dan comot di seluruh badannya.

“Abang tahu tak kat mana ada banyak orang buang tin kosong?”

Manis gadis itu bertanya. Senyumnya memikat jiwa yang walang. Iman menghadiahkan senyum untuk gadis itu. Sewajarnya dia senyum sebagai membalas pertanyaan sopan itu.

“Adik nak buat apa dengan tin-tin ni semua?”

Iman bertanya sambil menunjuk ke arah plastik berisi tin-tin yang dipungut gadis itu tadi. Gadis itu turut melihat sekilas ke arah plastik tersebut sebelum menjawab.

“Saya nak jual. Nak cari duit. Abang tahu tak kat mana saya boleh dapat tin yang dengan lebih banyak?”

Gadis itu mengutarakan sekali lagi soalannya. Iman tersenyum. Dia menyeluk poket mencari sesuatu.

“Nak bagi tin, abang tak tahu. Tapi, abang boleh bagi ni. Ambil lah.”

Iman mengunjukkan sekeping wang kertas RM10. Gadis itu menggeleng pantas.

“Saya tak kata nak duit. Saya nak tin.”

Gadis itu menjawab tegas. Iman sedikit kelu.

“Bukan ke adik cari tin nak jual? Nak duit? Ambil lah. Abang bagi ikhlas ni.”

Sekali lagi gadis itu menggeleng. Iman berkerut dan memuncungkan mulut.

“Abang, saya nak cari duit atas usaha saya sendiri. Bukan yang orang bagi. Saya tahu abang banyak duit. Tapi, duit abang tu tak akan buat saya jadi lebih rajin nanti.”

Iman terkedu sepenuhnya. Walau masih di alam kanak-kanak, gadis kecil itu sudah punya prinsip hidup yang cukup tegas. Dia terkunci bicara untuk seketika. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan.

“Tak apalah abang. Saya boleh cari sendiri. Terima kasih abang.”

Gadis itu lebih bijak mengatur perbualan. Dia mematikan perbualan antara meraka berdua. Iman terpinga. Setelah berjalan tiga langkah, gadis itu berpaling sekali lagi.

“Abang, bawa kereta elok-elok. Jangan selalu datang sini. Nanti kereta abang kotor. Assalamualaikum.”

Gadis itu melambai Iman. Iman membalas lambaian itu teragak-agak. Kata-kata gadis itu terasa mencarik jiwa. Apakah ia kata-kata kesedaran atau sindiran kepada orang berada sepertinya? Iman masih tidak mengalih pandangannya walau gadis itu telah hilang di pandangan. Hatinya cukup tersentuh, atas rasioanal apa? Dia sendiri tidak pasti.

Malam itu, ingatan Iman terlontar ke saat petang tadi. Wajah gadis genit itu menari-nari di tabir mata Iman. Bermula saat dia mengutip tin sehinggalah ke lambaiannya sebelum lenyap di pandangan mata Iman. Apa istimewanya gadis itu Iman tidak tahu. Tapi dia dapat mengesan, tindak tanduk gadis itu mencuri perhatiannya. Kata-katanya, jalannya, senyumannya cukup berbekas di hati Iman. Dia melihat gadis itu bukan seperti kanak-kanak lain. Satu keistimewaan yang tidak jelas.

‘Abang, saya nak cari duit atas usaha saya sendiri. Bukan yang orang bagi. Saya tahu abang banyak duit. Tapi,duit abang tu tak akan buat saya jadi lebih rajin nanti.’
Terngiang-ngiang kata-kata gadis itu. Terasa menikam hingga ke dasar hati. Biasanya, jika kanak-kanak seusianya pasti akan melompat gembira diberikan wang sebanyak itu.
Tapi tidak bagi gadis itu. Prinsip yang dipegangnya cukup ampuh untuk dirobohkan. Iman cukup kagum pada semangat gadis itu. Dia memasang angan untuk bertemu sekali lagi dengan gadis itu.

Seperti semalam, Iman menunggu di sekitar bangunan lama tempat gadis itu mencari tin kosong. Hampir 20 minit menunggu, bayang gadis itu tidak juga kelihatan. Berkali-kali Iman melihat jam di tangan kirinya. Kenapa sanggup dia membuang masa hanya kerana seorang kanak-kanak? Iman keluar dari kereta menunggu di luar.

“Abang nak bagi tin kepada saya ke?”

Tiba-tiba gadis itu muncul memeranjatkan Iman. Dua tiga kali dia beristighfar. Gadis itu tersenyum agak sinis.

“Lemah semangat lah abang ni. Abang tunggu saya ke kat sini?”

Gadis itu memulakan bicara. Tiap butir katanya diselangi senyuman. Iman hilang alasan untuk menjawab. Gadis ini nampak bijak. Iman menggeleng sebagai tanda jawapan kepada soalan gadis itu.

“Habis? Takkan ada meeting dengan client kat tempat macam ni?”

Iman sekali lagi terkejut. Macam mana gadis jalanan bisa melontarkan soalan sebegitu.

“Kenapa adik cakap macam tu?”

Iman menzahirkan tanda tanya yang bermain di mindanya.Gadis itu tersenyum lagi. Kali ini menampakkan giginya yang tidak begitu bersih.

“Kenapa? Apa yang abang nak pelikkan? Salah ke saya, budak jalanan jadi seorang yang pandai?”

Iman terasa hulu jantungnya seperti dicubit. Kata-kata itu seperti sedia tahu gelojak pertanyaan di hatinya. Gadis itu memang bijak. Dia seperti dapat membaca apa yang difikirkan oleh Iman.
“Saya tahu, abang tengah tunggu saya…tapi sayang, saya tak datang tepat pada masa.maaf la”
Iman melihat sahaja wajah gadis itu tanpa berbicara lanjut. Dia biarkan gadis itu menguasai komunikasi.

“Abang…saya ni, kerja tak tetap macam abang, satu tempat je. Rezeki saya bertabur di merata-rata tempat. Jadi saya pun kenalah berlari di merata-rata tempat nak cari rezeki saya.”

Kias gadis itu cukup teratur. Seperti bicara orang dewasa.

“Habis hari ni? Rezeki awak kat mana? Kat sini ke? Tempat semalam?”

Soal Iman. Dia mula memanggil gadis itu dengan kata ganti ‘awak’ berbanding ‘adik’ sahaja sebelum ini. Dia merasakan, gadis itu terlalu dewasa untuk dipangggil adik. Dewasa pada jiwa walau tidak pada fizikal. Gadis itu menggeleng sambil tersenyum.
“Tak. Hari ni kat tempat lain.” Jawabnya pendek.

“Habis tu, buat apa kat sini?” Soal Iman pendek.

“Jumpa abang la. Kalau tak jumpa, nanti abang kecewa pulak. Betul tak?”

Iman sekali lagi terkejut. Nyata gadis ini arif tentang dirinya. Terasa juga malu diperkatakan begitu. Iman senyum menyembunyikan rontaan jiwanya. Dia harus bersikap profesional. Tidak habis jika dia asyik terkejut sahaja.

“A’a. Memang abang nak jumpa awak. Kenapa? Tak boleh ke?”

Gadis itu memandang Iman. Tanpa sebarang reaksi. Dia memuncungkan sedikit mulut.

“Untuk apa?”

“Saja. Nak berkenalan. Kenapa tak boleh ke?”
Iman beraksi sedikit keanak-anakan. Mata gadis itu menikam anak mata Iman. Dia nampak ragu-ragu dengan jawapan yang diberikan oleh Iman.

“Ye la… saya tahu…Tapi pelik la. Untuk apa abang nak kenal dengan saya?”

Iman memaniskan roman wajah. Wajah gadis itu ditatap sesungguhnya. Ada satu keindahan pada wajah comot itu. Keindahan yang tak dapat ditafsirkan letak duduknya.

“Abang suka dekat awak. Nama awak siapa?”

Tanya Iman. Gadis itu memandang Iman agak tajam. Sedikit tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan Iman. Atas dasar apa lelaki ini ingin berkenalan dengannya? Kawan? Tak sesuai jika nak diukur dengan paras usia.

“Syar. Syarmaini.”

Jawab gadis itu jujur tanpa sebarang dalih. Iman tersenyum puas mendengar nama itu. Cukup indah di pendengarannya.

“Cantik nya nama…macam tuannya…”

Puji Iman. Syarmaini mencebik tidak suka kata-kata pujian daripada Iman. Baginya, pujian seperti itu sudah basi untuk digunakan.

“Selalu orang cakap macam tu. Kenapa ha? Apa kaitan nama dengan cantik atau tidak seseorang itu?”

Bebel Syarmaini. Maksud kata-katanya tidak begitu jelas pada Iman. Seperti ada makna lain yang tersirat. Dizahirkan persoalan yang bermain di benaknya.
“Maksud Syar?”
Syarmaini tersenyum mendengar soalan Iman. Nyata gadis ini cukup bijak jauh menjangkaui umurnya.

“Takde la…kita kan, diciptakan dari dalam perut lagi. Cantik ke, tak cantik ke, semua dah tetap masa dalam perut lagi. Nama pulak, diberi selepas kita dilahirkan. Jadi, cantik ke, tak ke, tak ada kaitan dengan nama kita sekarang.”

Hujah Syarmaini panjang. Iman agak kelu. Syarmaini pandai bermain kata-kata.

“Tapi, kan semua ciptaan tuhan tu, cantik-cantik belaka. Tak ada kurangnya.”

Balas Iman. Syarmaini berpaling memandang wajah Iman. Pandangannya bukan satu pandangan biasa. Punya 1001 erti yang tersirat. Dalamnya hingga ke dasar anak mata Iman.
“Yang cantik itu, ciptaan tuhan. Tapi, tak semua pandai menilai kat mana letak cantik tu. Kalau pada abang la, mana lebih nampak cantik? Orang yang pakai bedak kat pipi ke, orang yang ada minyak kotor kat pipi dia?”

Tajam Syarmaini mengutarakan soalan. Dari nada kata-katanya, tersembunyi cebis rasa tidak puas hati. Iman tahu, itu satu soalan berupa perbandingan. Dia digesa untuk memilih.

“Tak payah jawab. Bodoh lah kalau kata orang yang kotor, ada minyak kat pipi, cantik. Kotor macam saya ni.”

Iman tergamam mendengar soalan itu. Memang nyata, ada unsur tidak puas hati dalam hati gadis ini. Dia seolah marah pada persepsi dunia. Tentang diskriminasi umum tentang golongan yang malang sepertinya.

“Ke mana-mana pun, orang tak akan pandang kami macam manusia. Kami jalan macam orang lain jugak. Makan, minum, sama macam manusia lain jugak. Tapi, tak tahu lah. Mungkin mata manusia ni, boleh bertukar-tukar kot.”

Syarmaini tanpa sedar meledakkan emosinya sedikit demi sedikit. Iman hanya mendengar. Dibiarkan Syarmaini terus berhujah. Tonasinya berbaur geram, marah, dan sakit hati pada masyarakat umum.

“Apa yang Syar geramkan?”

Tanya Iman melanjutkan perbualan. Syarmaini diam sejenak. Dia meghalakan pandangannya jauh ke depan. Pengamatannya amat dalam. Seolah-olah memikirkan masalah rumit yang tiada jalan penyelesaian. Dibiarkan soalan Iman tergantung tidak berjawab. Syarmaini mengunjukkan sesuatu sambil memuncungkan bibir.

“Abang tengok la tu. Budak tu lalu je depan kedai pak cik tu. Tapi dah dihalau macam dia mencuri. Sebab kami hidup macam ni, kami dicop sebagai pencuri, gila, jahat dan macam-macam lagi.”

Iman mengalihkan pandangannya ke arah yang ditunjukkan Syarmaini. Memang ada, seorang kanak-kanak lelaki yang diherdik dan dihalau oleh seorang peniaga di situ. Puncanya hanya kerana kanak-kanak itu berada dekat dengan gerainya. Memang memilukan. Iman terkunci kata, tidak tahu hendak membela. Gadis sebijak Syarmaini tidak boleh dipandang enteng. Bicaranya berbisa. Khuatir tersilap kata, boleh disalah tafsir. Iman sekadar bungkam. Membiarkan Syarmaini terus dengan hujah-hujahnya.

“Abang ni, buat apa kat sini sebenarnya kat sini. Takkan abang tak ada kerja lain nak dibuat? Takkan makan angin kot?”

Syarmaini menzahirkan tanda tanya yang berlegar di benak. Iman tersenyum membalas. Dia juga tidak jelas tentang tujuan sebenar dia berada di situ. Atas tuntutan naluri? Mungkin.

“Entah la Syar…abang pun tak pasti kenapa abang ada kat sini. Mungkin, kita perlu juga teroka dunia yang berbeza dengan dunia yang kita diami. Dengan itu, barulah kita akan tahu erti hidup yang sebenar.”

Jawab Iman mengikut kata hatinya. Tiada jawapan dari mulut Syarmaini. Reaksinya tidak banyak berubah. Membuang pandangan jauh ke ufuk bumi. Iman pasti, Syarmaini faham apa yang dia katakan sebentar tadi.

“Jadi, apa yang abang rasa dapat masuk ke dunia saya yang asing bagi abang ni?”

Iman memandang Syarmaini sekilas. Atas alasan apa soalan itu ditujukan, Iman tidak pasti. Adakah untuk menguji? Menyindir? Atas sekadar soalan ingin tahu? Wajah gadis itu selamba. Tiada sebarang nada keraguan pada soalan tersebut.

“Tak ape lah abang. Saya pun tak paksa abang untuk jawab soalan tu. Mesti susah kan? Walaupun saya ni tak dewasa lagi, tak berpelajaran, tak berharta, tapi saya tak rasa yang saya ni menyusahkan hidup orang lain. Orang lain je yang buat saya jadi macam ni.”

Berkerut Iman mendengar ngomelan itu. Dia kurang paham akan maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh Syarmaini.

“Mmm..maksud Syar?”

Soal Iman. Syarmaini melepaskan keluhan halus. Mungkin agak geram dengan tahap kefahaman Iman yang masih rendah dalam menafsir maksud kata-katanya.

“Kenapa kami, orang miskin, tak boleh hidup macam orang lain? Kenapa kami, dibenci oleh orang yang lalu-lalang? Kenapa kami, mendapat darjat yang rendah dalam masyarakat? Kenapa tak ada sekolah yang nak terima kami tanpa bayar yuran? Abang dapat jawab tak semua ni?! Tak dapat kan!”

Jawab Syarmaini agak kasar. Iman menjadi tempat meluahkan apa yang dipendam selama ini. Keduanya terdiam. Merah padam wajah Syarmaini selepas meluahkan kata-kata itu. Ada sedikit kesal di hatinya. Untuk apa dia memarahi Iman? Lelaki itu tidak pernah membuat salah kepadanya.

“Maafkan saya abang. Saya tak bermaksud nak marah abang macam tu.”

Iman menggeleng pantas tatkala mendengar ungkapan mohon kemaafan daripada Syarmaini. Dia melorek senyuman paling manis sebagai meyakinkan Syarmaini terhadap keikhlasan hatinya.

“Saya cuma nak orang di sekeliling hormat kami sebagai manusia. Itu saja. Tambah-tambah, kepada golongan berada. Tolonglah jangan terlalu jijik dengan kami. Kami cari rezeki dengan cara halal…Makan, makanan yang halal. Macam orang lain jugak. Jangan la hina kami sangat. Itu je yang saya nak mintak dengan manusia kat atas dunia ni!”

Syarmaini memejamkan mata, sambil menarik nafas panjang. Kemudian melepaskannya perlahan. Seolah-olah terlepas sedikit bebanan jiwa yang ditanggungnya.

“Okey lah abang. Dah nak maghrib ni. Saya kena balik dulu. Nak sembahyang maghrib dan doa banyak-banyak supaya saya jadi kaya. Kaya macam mana pun kita, kalau tuhan tak redha, tak guna jugak. Satu hari nanti, dia akan tarik balik ni’mat yang kita ada sekarang ni. Jadi, saya tak nak jadi hamba yang ingkar. Okey lah abang. Saya pergi dulu. Assalamualaikum..”

Syarmaini mengangkat punggung. Iman agak tergamam. Hanya sesingkat itu sahaja pertemuannya dengan Syarmaini. Hatinya masih belum puas menyusur kehidupan gadis itu. Namun, sepanjang perbualan, Iman lebih banyak berdiam daripada bersuara. Tidak sanggup rasanya dia memutuskan pertemuan untuk hari itu.

“Syar, tunggu sikit lagi tak boleh ke?”

Syarmaini menoleh selepas mendengar laungan Iman.

“Abang tak sembahyang maghrib ke? Dah nak masuk maghrib ni.”

Iman terdiam. Sememangnya ayat itu menikam jantungya. Sudah lama dirinya tidak dibasahi air wudhu’ suci. Keterbatasan hidup yang dicipta ekoran kesibukan dunia.

“Bila lagi kita boleh berjumpa?”

Iman meminta agar pertemuannya dengan Syarmaini mendapat lanjutan seterusnya. Gadis kecil itu melangkah kembali menghampiri Iman. Wajahnya tidak manis dan tidak masam. Neutral tanpa sebarang nada.

“Masih banyak yang perlu abang lakukan untuk dunia ini, untuk keluarga abang, untuk diri abang sendiri dan paling penting, untuk pencipta abang. Jangan la sebab saya, segala tanggungjawab abang terbengkalai. “

Iman berkerut mendengar jawapan dari Syarmaini. Gadis itu enggan untuk terus bertemu dengannya. Kata-kata yang keluar dari mulut Syarmaini sekali lagi menikam jiwa dan sanubari Iman. Tidak pernah dia ditegur sebegitu.

“Oh, ya! Apa nama abang ye? Dah bual panjang-panjang ni, saya tak tau pun nama abang apa.”

Pertanyaan itu disusuli senyuman manis dari Syarmaini. Iman juga tidak sedar yang dia tidak memperkenalkan diri sepanjang perbualan mereka tadi.
“Iman. ” Jawab Iman.

“Sedapnya nama abang. ‘Macam orangnya’.” Puji Syarmaini dalam ton sedikit perli. Kata-kata itu dipinjam dari Iman yang diucapkan kepada dirinya sebentar tadi.

“Nama cantik, harap dapat disamakan dengan diri kita yang sebenar. Macam abang cakap tadi, nama cantik, tuan pun cantik. Harap iman kita juga di tahap yang layak dipanggil iman. Kan abang Iman?”

Terasa ayat itu berdesing di telinga Iman. Kali ini dia tidak menoleh ke arah wajah Syarmaini. Sudah tidak sanggup menatap senyuman sinis bernada sindiran gadis itu. Satu keluhan kecil dihembus halus.

“Tak apa lah abang Iman. Saya kena balik dulu. Dah maghrib dah ni. Kalau Tuhan izin, kita akan jumpa juga. Abang tak perlu risau. Mintak maaf la kalau ada kata-kata saya yang tak enak di telinga abang…abang Iman. Assalamualaikum…”

Iman menjawab salam Syarmaini di dalam hati. Tidak kedengaran bunyinya, sekadar gerakan mulut yang menjadi bukti jawapan itu wujud di mulutnya. Kelibat Syarmaini semakin lenyap pada tatapan Iman. Gadis lincah itu benar-benar berbisa padanya. Tidak pernah ada orang yang mempertikaikan namanya dengan sikapnya yang kontras. Iman. Agak gah nama itu di kalangan puak manusia. Namun, apakah ia gah di sisi tuhan? Atau mungkin menjadi cemuhan? Tidak pernah Iman berfikir tentang hal sebegitu. Liputan mindanya yang pernah menjelajah jauh ke serata dunia, tidak pernah berfikir tentang iman. Satu perkataan yang sering keluar dari bibirnya sendiri. Namun sekadar kata ganti diri. Mungkin sudah tiba waktu untuk Iman berfikir, apa itu iman di hati seorang yang bernama Iman.

“Terima kasih Syar.” Petang itu, hala tuju Iman bukan sebagai Iman biasa. Tapi Iman yang mula mencari imannya yang hilang. Iman yang wujud pada nama dan mula berputik pada hati. Semuanya diatur cantik oleh Allah. Kesedaran yang ditimbulkan oleh seorang insan yang belum matang pada zahirnya tapi tidak pada jiwa dan rohaninya.

~tamat~

Oleh :ryu

Posted by: aisyahalhumaira | J000000Jumaat07 20, 2007

Dakwah ini milik siapa?

Oleh : SaufiahAzZahrah

2_4884_1_11.jpg

Dahulu, ketika Muhammad mendapatnya,
terus diberi kepada beribu-ribu manusia.

Dahulu, ketika Abu Bakar mendapatnya,
terus diberi kepada enam manusia yang kebanyakannya dijamin syurga.

Dahulu, ketika Bilal mendapatnya,
terus dibebaskan jiwanya walau tubuh dibaham belati.

Dahulu, ketika Sumaiyyah mendapatnya,
terus dikorbankan nyawanya tanpa ada rasa ragu

Dahulu, ketika Umar mendapatnya,
kasar jiwanya terus dihalusi oleh ayat-ayat Yang Maha Esa.

Itu dahulu.

Sekarang?

Kita mendapatnya,
lantas kita biarkan ia tersimpan kemas tidak ke mana-mana.

Kita mendapatnya,
lantas kita enggan semua orang merasai apa yang kita rasa.

Kita mendapatnya,
lantas kita halang mereka memberi pada yang sepatutnya

kita merasa tidak layak,
padahal kita sebenarnya dibebani tanggungjawab sejak dari langkah bermula.

Bila pula mula merasa layak,
kita melakukannya pula demi segugus nama.

Pedang yang tidak tajam harus diasah.

Pedang yang tajam bukan untuk menikam saudara.

Musuh kita al bathil,

Musuh kita bukan sesiapa yang melangkah dalam soff yang sama

Tawadhuklah.

Berusahalah

Buatlah kerana mardhatillah

Bukan kerana diri sendiri.

Oleh : SaufiahAzZahrah

Posted by: aisyahalhumaira | J000000Jumaat07 20, 2007

Dahsyatnya Neraka Allah

Sumber :I Luv Islam

fire.jpg
-Api Dunia-
-Cebisan daripada cebisan-cebisan Api Jahannam-

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya,

Maka ditanya oleh nabi s.a.w.: “Mengapa aku melihat kau berubah muka?”

Jawabnya: “Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya.”

Lalu nabi s.a.w. bersabda: “Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam.”

Jawabnya: “Ya.

Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Qur’an itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya,

Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan.”

Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?” Jawabnya: “Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda.” (nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s.a.w.: “Siapakah penduduk masing-masing pintu?”

Jawab Jibrail: “Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir’aun sedang namanya Al-Hawiyah.

Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim,

Pintu ketiga tempat orang shobi’in bernama Saqar.

Pintu ke empat tempat Iblis

Pintu kelima orang yahudi dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha, bernama Huthomah.

Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa’eir.”

Kemudian Jibrail diam segan pada

Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya: “Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?”
Jawabnya: “Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat.”

Maka nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sadar kembali dan sesudah sadar nabi saw bersabda: “Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?”

Jawabnya: “Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu.” Kemudian nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.(dipetik dari kitab “Peringatan Bagi Yg Lalai”)

* * * * *

Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku.

Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:

1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat

2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah

3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung

4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah

5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik

6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kota

7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum

8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular

9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat

10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai

11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat .

Mudah-mudahan dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua. Wallahua’lam. Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159 Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami terangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Posted by: aisyahalhumaira | J000000Jumaat07 20, 2007

Cerpen : Kasih Iman NurMujahadah Di Kaabah

Sumber : hijabkasihNya
Nukilan:Norshafriza Abdul Razak

Sesungguhnya cintailah insan yang mampu menyinari cinta kita pada Ilahi… walaupun dalam diam itu lebih baik daripada terangan yang membawa seribu kemungkinan…
Suasana dingin yang mencengkam tubuhnya sejak 2 jam tadi serasa bagaikan menggigit hingga ke tulang hitam. Kurung biasa dan tudung litup yang membalut tubuhnya tidak mampu untuk mengurangkan kedinginan. Hampir 2 jam dia bertapa di dalam bilik belajar 24 jam Perpustakaan Sultanah Bahiyah ini. Selesa walaupun kadangkala kekusyukannya setiap terjejas lantaran ada pelajar yang tidak “mendiamkan” handphone mereka.

Dia selesa mengunjungi PSB pada waktu-waktu pagi dan juga petang kerana tika ini tidak ramai pelajar yang sanggup untuk menghabiskan masa di PSB, masa-masa sebegini lebih sesuai untuk beradu di atas katil asrama.

“Assalamualaikum Ilmi…”

Dia mendongak seraya membalas salam teman baiknya itu, Iman Nurmujahadah.

“Adah pun study jugak ker?”, hairan dia melihatkan wajah sugul teman nan satu ini.

“Erm… Adah cari bahan…”.

“Adah cari bahan ker cari orang?”,Akal nakal Raudhatul Ilmi mula memainkan peranannya diikuti dengan kenyitan mata.

“Ilmi..”, pantas jemari runcing itu mencari sasaran.

“Dia tak dak la Ilmi… Erm, Adah lapaq la jom pi makan..Jom la..”,bagai budak kecil Iman Nurmujahadah merengek pada teman baiknya, sebenarnya dia tidak ingin terus menjadi bahan usikan Raudhatul Ilmi lagi…

“Yelah tue…jab Ilmi nak kemas”, tak sampai hati rasanya untuk menghampakan harapan sahabat ni.

* * * * *

Dia sukakan akhlak yang ditunjukkan oleh muslimin itu. Dia bukanlah seorang yang begitu mudah untuk jatuh hati. Malah, perkara inilah yang seringkali cuba dielakkan sepanjang usianya hampir 23 tahun. Bukan menolak jodoh tetapi dia masih terikat dengan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin pada ibu dan abahnya. Dia masih belum bersedia lagipun rahsia hatinya biarlah hanya Dia yang tahu…jangan memberikan harapan kepada insane sedangkan kita sendiri masih mencari-cari harapan untuk meneruskan perjuangan di bumi Allah ini.

Tetapi kini…Pertemuan pertamanya semasa menghadiri Kursus Pengurusan Organisasi JPPK tidak lama dahulu masih berbekas di hatinya. Alunan ayat-ayat suci kalamullah yang dibacakan semasa qiammulail masih terngiang-ngiang lagi… mengusik nurani kewanitaannya…Dia terhutang budi dan nyawa pada Najmi Haqimie.

Najmi Haqimie, itulah nama yang berjaya mengetuk pintu hatinya. Namun, rahsia ini disimpan sekejab mungkin hanya pada raudhatul Ilmi sahaja dicurahkan rahsia hati ini. Kesopanan dan ketertiban Iman Haqimie dalam menjalinkan ikhwah dihormati. Kepimpinannya dalam meletakkan Islam sebagai asas perjuangan dikagumi. Aduhai, itulah anugerah Ilahi buat insane yang bernama Najmi Haqimie. Puas sudah dia berdoa agar nama dan ingatan terhadap muslimin pilihan itu dilupuskan daripada kanvas hatinya. Tadahan doa dan solat hajat terusan dilakukan. Namun ingatan nuraninya semakin kuat. Apakah ini ketentuan Ilahi?

Ahh, tidak..Mungkin ia hanya mainan syaitan laknatullah yang cuba untuk menipiskan iman di hatinya…Dia sedar saingannya terlalu hebat. Ukhtie Najihah, graduan diploma Pengajian Islam KIPSAS yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Psikologi juga khabarnya menaruh hati pada Najmi Haqimie, lagi, Umi Farhana, hafizah Maahad Tahfiz Derga alor Setar, penuntut tahun 2 jurusan Pendidikan juga merisik ruang kosong di hati Najmi Haqimie. Dia apa yang dia ada..? Hanya mimpi dan doa… atas satu sebab yang kukuh yang hanya dia dan Ilahi tahu mengapa dia berusaha bersungguh untuk melupakan adam itu. Lantaran itu, dia lebih senang untuk mendiamkan diri.

* * * * *

Pertanyaan Ustaz Shamsuri mengenai masa depannya masih menjadi persoalan. Ya Allah, rupanya desas desus mengenai beberapa siswi yang merisik khabar dia daripada ustaz-ustaz di Pusat Islam terbukti ada benarnya, bukan sekadar usikan rafik-rafiknya. Siapalah dia? Dia hanyalah insane biasa, serba kekurangan. Dia sendiri masih terkapai-kapai mencari jalan keredhaan biarpun sudah terang disuluh ilmu yang dicari. Amanah Ilahi bukanlah suatu yang main-main.

“Enta, ana ni sekadar nak menyampaikan hasrat orang,”
tenang sekali bicara Ustaz Shamsuri, lulusan Jordan berusia 35 tahun itu.

“Ada yang bertanya khabar. Memilih enta sebagai peneman hidup pembimbingnya menuju ke jalan Ilahi. Kalau enta sudah mempunyai calon, beritahulah, kalau belum cuba-cubalah pertimbangkan hal ini,”.

Bertemankan Syaiful Syahid, dia menunaikan juga janji untuk bertemu dengan ustaz yang dia hormati itu setelah diberitahu oleh seorang teman melalui sms. Rupanya ini yang ingin dibincangkan. Aduh, bersediakan dia…?

“Tak sangka pulak aku,siapalah agaknya yang menjadi Siti Khadijah ke2 nie. Beraninya dia…,”

kagum Syaiful Syahid dengan tindakan muslimat itu. Seakan menyamai dan mungkin boleh dikatakan bahawa dia mencontohi kisah Siti Khadijah r.a yang meminang Rasulullah saw.Jarang terjadi dalam sejarah mereka, muslimat membait muslimin. Selalunya muslimin yang akan menggunakan ustaz-ustaz di Pusat Islam, Darul Syifa’ untuk merisik seterusnya taqdim muslimat terpilih di hati. Lain pulak dengan kisah sahabat baiknya yang sorang nie. Syaiful Syahid tersenyum.

“Wallahualam..tak tahu lah..dalam ramai mengapa mesti Qimie…masalah-masalah…,” Syahid hanya mampu menggelengkan kepalanya.

* * * * *

Pening kepalanya… Khabar yang disampaikan Amal Hayati mengenai fitnah yang terjadi ke atasnya sudah menjadi berita sensasi. Pada Raudhatul Ilmi, dia titiskan air mata… ya Allah, , mengapa semua ini terjadi. Dia dikatakan perempuan yang tak tahu malu, perigi buta yang mencari timba…macam-macam tohmahan dilemparkan padanya..

“Sabarlah Adah, biar Allah sahaja yang membalas perbuatan mereka ini,” simpati Raudhatul Ilmi tercurah pada sahabat baiknya ini.

Entahla siapa yang menyebarkan fitnah kononnya Iman Nurmujahadah telah merisik Najmi Haqimie. Kononnya lagi…mereka pernah ternampak Iman Nurmujahadah berbual mesra dengan Ustaz Shamsuri. Paling teruk, mereka mengaitkan kisah pertolongan Najmi Haqimie kepada Iman Nurmujahadah semasa gadis itu terkapai-kapai terjatuh di dalam kolam semasa menjalankan aktiviti kayak, peristiwa yang terjadi semasa kursus KPO sedikit masa lalu. Tak tahukah mereka bahawa dosa fitnah itu lebih buruk daripada zina…masyaAllah..getus hati Raudhatul Ilmi.

Sayu dia memandang wajah sugul Iman Nurmujahadah. Sabarlah sayang, ada rahmat di sebalik semua ini.Patutla, semalam semasa usrah, ramai muslimat yang berbisik sesame mereka. Paling menyakitkan hatinya, sahabatnya itu dikatakan sengaja memancing perhatian Ustaz Shamsuri untuk memudahkan laluan memikat Najmi Haqimie. Bukan itu sahaja, Iman Nurmujahadah juga dipulaukan oleh ahli usrah yang kebanyakkannya menyokong seandainya Umi Farhana yang menjadi suri hati Najmi Haqimie.Ya Allah, Kau berilah kekuatan pada sahabatmu itu…doa Raudhatul Ilmi.

* * * * *

Semalam berpampasan dengan Najmi Haqimie dan Syaiful Syahid, terasa ada pandangan sinis Syaiful Syahid, manakala Najmi Haqimie hanya tersenyum. Riak ketenangan masih berbekas pada wajah pemuda berusia 24 tahun itu. Kalaulah kau tahu getarnya di hati ini.Dia tidak bersalah,apa yang perlu dimalukan. Ahh, pedulikan…Allah itu Maha Adil. Itu janji Dia. Kata-kata semangat yang Raudhatul Ilmi pasakan pada hatinya masih tersemat, dia takkan goyah..betul juga tu, mungkin dia insane terpilih oleh Ilahi untuk menguji sejauh mana ketaqwaan dia menghadapi mehnah ini.

Sedangkan Rasulullah sendiri pernah menerima fitnah yang lagi hebat, inikan pula dia. Takkan hanya kerana acahan sekecil ini dia akan mudah untuk melatah..Tidak!!!Setiap malam dia akan bersolat hajat, mohon diberikan ketenangan, diberikan petunjuk agar dia akan tabah dalam mengharungi segalanya. Qalam suci itu tak pernah sunyi daripada amalan dia. Zikir, tahmid dan tasbih bagaikan sudah sudah sebati…benarlah, setiap yang berlaku ada rahmat yang tersembunyi disebaliknya. Syukurlah…dia takkan menyalahkan sesekali taqdir atas apa yang terjadi.

* * * * *

Benarkah tindakannya ini..Moga apa yang dia lakukan adalah benar..

“Enti, ana minta maaf..Cuma ana rasa enti janganlah berharap pada sesuatu yang tak pasti. Ana minta enti tolonglah ana, fitnah telah tersebar. Ana takut ana tak tahan sabar. Tolonglah, lupakan ana. Ana tak nak amal ana terganggu dengan semua ini, lagipun ana rasa sebagai seorang perempuan ana memaklumi aqal 1 nafsu 9,”.

Ya Allah, apakah benar apa yang dia dengar ini. Terluah daripada mulut muslimin yang selama ini mencuri hatinya. Dia menuduh seolah-olah aku… Ya Allah, mengapa terjadi semua ini. Sekali lagi, ketabahan dia diacah mehnah.

“tentang Ustaz Shamsuri biarlah ana yang jelaskan padanya. Enti janganlah risau. Cuma kalau boleh janganlah dicanangkan peristiwa pertolongan ana pada enti semasa kursus hari tu. Kalau orang lain pun, ana yakin mereka mesti akan mengambil jalan yang sama jugak.”

Laju lidah itu menuturkan bicara tanpa sedar ia telah melukakan hati seorang gadis.masyaAllah …berilah kekuatan untukku..Iman Nurmujahadah memohon dalam diam.

* * * * *

Itulah langkah nekad Najmi haqimie, maafkan ana Iman Nurmujahadah.. Ana dah tak sanggup untuk menghadapi semua ini. Berbekalkan semangat dan keyakinan dia mengatur pertemuan dengan gadis itu, walaupun debar di dada hanya Tuhan yang tahu.Dia tahu dia telah melukakan hati gadis itu, tapi dia sendiri bingung…fitnah itu seolah-olah mempermainkan kisah dia dengan gadis itu. Ketika berbicara tadi, dia tahu dia seolah-olah tidak memberikan peluang untuk gadis itu membela diri. Zalimkah dia? Entah lah dia sendiri pun tidak pasti. Lama dia berteleku di atas sejadah, menyelak qalam mulia itu, memuliakannya…moga hatinya akan menjadi tenang setenang air di kali.

* * * * *

“Enta, ana mintak maaf atas apa yang telah terjadi. Kalau lah ana berterus terang tentu semua ini takkan terjadi. Ana betul-betul tak sangka,” terluah juga akhirnya penyesalan daripada Ustaz Shamsuri.
Fitnah tentang Najmi Haqimie bertiup kencang dan dia tahu salah dia. Kesian Iman Nurmujahadah…dia tidak bersalah.

“Tak pa lah Ustaz, ana dah selesaikan dengan muslimat tersebut, Cuma ana rasa peristiwa yang terjadi ini sedikit sebanyak mengoncang kesabaran ana…Ana terpaksa bersemuka juga walaupun ana tahu muslimat itu mungkin terkejut dan terluka. Tapi, ana rasa itulah jalan yang terbaik untuk kami berdua.”

“Maksud enta, Iman Nurmujahadah?”

“Na’am ustaz kenapa?” aneh. Bukankah dia yang…

“Ya Allah, enta dah salah orang…,”

ustaz Shamsuri melepaskan satu keluhan yang maha berat.

“Sebenarnya bukan dia yang meminta ana menyampaikan hasrat itu. Orang lain tapi, semenjak peristiwa itu terjadi, muslimat berkenaan telah meminta pada ana untuk menjelaskan kepada enta, ukhtie tersebut telah pun menerima lamaran melalui keluarganya.mungkin jodohnya bukan dengan enta…”

Bunyi ketukan lembut pada pintu menyentak kedua-dua mereka. Daun pintu yang terbuka menyerlahkan wajah tenang dan susuk tubuh seorang gadis berjubah ungu.

“Assalamualaikum…abang long…”,Mata mereka bertembung,

Ya Allah apakah benar apa yang dia dengar ini.“Inilah adik kandung ana, Iman Nurmujahadah,”

* * * * *

Kebenaran telah terbukti, rupanya Iman Nurmujahadah adalah adik kandung berlainan ibu pada Ustaz Shamsuri, patutlah ada yang pernah menyampaikan tentang kemesraan kedua beradik itu. Kebenaran tentang fitnah itu juga sudah terjawab. Dia sendiri tidak pasti apakah perasaan dia sekarang. Masih terngiang lagi bicara manis, lembut tapi penuh hikmah terluncur daripada bibir Iman Nurmujahadah.

“Akal yang sembilan masih belum mampu untuk menilai antara kebenaran dan kebatilan. Walaupun aqal yang satu namun, yakinilah bahawa yang satulah yang akan mengatakan kebenaran melalui aqalnya.”

MasyaAllah…benar aqal sembilannya itu masih belum mampu untuk membantu dia menilai erti ketulusan dan kejujuran seorang insane. Apa butakah dia, semasa liqa’ dengan gadis itu, tak terlihatkah dia akan cahaya kejujuran pada wajah gadis itu…Ya Allah…

* * * * *

Cuti semester telah pun bermula, sudah sebulan peristiwa hitam berlalu. Yang menyebarkan fitnah itu sudah mengaku akan kesalahannya, dia sedia memaafkan semua nya. Bukankah kemaafan itu lebih baik daripada saling bermasam muka. Sesungguhnya Islam itu terlalu indah…Sebentar tadi pramugari MAS datang menghulurkan minuman fresh oren padanya. Ajakan abangnya, Ustaz Shamsuri untuk menunaikan umrah diterima dengan senang hati. Baru sebentar tadi, Raudhatul Ilmi datang menghantarnya. Ada rahsia yang diserahkan pada Raudhatul Ilmi, mohon disampaikan pada yang berkenaan. Pada Raudhatul Ilmi, sahabat baiknya dia memohon agar dihalalkan segalanya. Entah kenapa, hatinya terlalu gembira untuk menjejakkan kaki ke tanah suci.

* * * * *

Ya Allah, mengapa wajah itu yang muncul dalam mimpinya? Ya Allah..sudah 3 hari hanya wajah itu yang hadir…Berita tentang keberangkatan gadis itu bersama keluarganya ke Tanah Suci sudah diterima, namun terasa sayu melepaskan gadis itu pergi… Dan pada 3 malam yang lepas, dia bermimpi gadis itu datang dengan wajah yang paling tenang paling manis dengan telekung putih…seolah-olah ingin menjengah satu kerinduan.Apakah dia jodohku?

Ya Allah, hatinya kuat menyatakan bahawa benarlah bahawa itulah yang disediakan untuknya. Calon permaisuri hatinya. Rindunya pada gadis itu tidak terucap. Dia akan setia menantikan kepulangan gadis itu, akan dicurahkan rahsia hatinya kerana dia yakin bahawa itulah gadis pilihannya. Dia tersenyum..membina cita-cita. Ketegasan gadis itu ketika pertemuan di kamar kerja Ustaz Shamsuri menarik hatinya. BUtakah dia selama ini? Ya, Allah berilah peluang…

* * * * *

Ya Allah, apakah benar berita ini? Janganlah kiranya semua ini terjadi… masih terngiang-ngiang bicara Iman Nurmujahadah padanya semasa dia wida’ gadis itu bersama keluarganya ke Tanah Suci.

“Ilmi, Adah mohon maaf kat Ilmi. Halalkan makan minum Adah, ilmu yang Ilmi kongsikan dengan Adah…Ada peluang Adah ingin meninggal di sana..Bersama-sama dengan para syuhada’ dan syahidah.”

Ya Allah…perkhabaran yang disampaikan oleh keluarga Ustaz Shamsuri sebentar tadi benar-benar menjadikan dia tidak keruan. Serasa bagai semalam Iman Nurmujahadah tersenyum padanya…Bicara gadis itu masih terdengar-dengar lagi.Tak mungkin, hampir dia rebah tatkala menerima berita itu. Mujurlah pada abah dia berpaut..Iman Nurmujahadah sudah kembali ke rahmatullah. Hasrat dia untuk bersama-sama sanjungan agama tercapai… Iman Nurmujahadah sudah meninggalkan diri. Dia meninggal kerana sakit barah otak, yang dirahsiakan.

Ya, Allah…betapa kuatnya semangatmu wahai sahabat. Mengapa tinggalkan Ilmi… airmata yang dialirkan tidak mampu untuk mengubah ketentuan yang sudah pasti…

* * * * *

Terasa bagai diawangan ketika Raudhatul Ilmi menyampaikan berita itu. Gelap pandangannya…Dia memerhati dengan pandangan kosong. Iman Nurmujahadahnya, sudah pergi tinggalkan segala angan-angan indah yang telah diukirkan pada kanvas impian. Bungkusan yang diserahkan padanya oleh Raudhatul Ilmi masih di dalam gengaman. Benarkah?Ya Allah, berikan daku ketabahan…

Sehelai jubah putih dan kitab suci kiriman pertama dan terakhir daripada Allahyarhamah Iman Nurmujahadah dijamah dengan pandangan sayu.Apakah kehadiranmu dalam mimpiku sekadar untuk mengucapkan selamat tinggal? Mengapa aku terlewat untuk menilai erti kasihmu…Surat yang menceritakan rahsia dan kisah kasih seorang gadis mengungkap segala rahsia..

Bismillah…
Assalamualaikum…
Buat pejuang di jalan Ilahi…

Semoga enta sentiada di dalam rahmat Ilahi. Tatkala warkah ini sampai kepadamu, mungkin hanya nama Iman Nurmujahadah menjadi tatapan. Mengasihi enta dalam diam adalah rahsia kasih ana. Namun, badai gelombang yang melanda seolah-olah menguji keyakinan kasih ana pada enta…

Seandainya ada jodoh kita, ana mohon semoga kita dipertemukan di sana biarpun bukan sebagai suami isteri. Ana hargai budi baik enta, ana doakan enta berjumpa jodoh yang sekufu…

Ini doa ana di depan Kaabah.andai kita tidak ditakdirkan untuk berjumpa lagi, ana tidak ralat kerana mengisihi enta walaupun dalam diam ialah yang membawa ana mengenal cinta agung, cinta Ilahi.

Akhirul qalam, semua enta akan berjaya dunia dan akhirat.Hanya Tuhan Yang Tahu…

Srikandi Cinta Ilahi…
Iman NurMujahadah binti Abdul Razak.

Nukilan:Norshafriza Abdul Razak

Posted by: aisyahalhumaira | J000000Jumaat07 20, 2007

Cerpen : Aiman Mujahid

Oleh : eyeman (AlwanComics)

Debu – debu pasir mula mengisi udara panas padang pasir. Kesan dari hentakan kaki kuda dan juga langkah – langkah manusia. Suasana gempar mengisi setiap sudut. Kelihatan Abu Jahal sedang membakar semangat pasukannya. Sedang terjengah – jengah meninjau keadaan pertempuran dengan pahlawan Madinah. Sedang dalam keadaan mencari dia sebenarnya diburu. Aiman mendengar bisikan dua orang anak muda yang berumur sekitar sepuluh tahun kepada Uthman.

“Pakcik tunjukkan kami Abu Jahal musuh Allah dan RasulNya” lantas pakcik yang kelihatan gagah itu menjengah seketika. Maka muka bengis Abu Jahal dituding.

Tanpa menjawab dua anak muda tadi seperti kelinci menyerbu pantas dengan senjata mereka. Aiman mengikuti mereka dengan penuh perhatian. Mereka sememangnya bersemangat dan penuh tekad. Abu Jahal yang diburu sudah sangat hampir. Abu Jahal ketika itu sedang membakar semangat kaum Quraisy tentera Makkah. Sepantas petir pedang Muaz Ibnu Amru dijamu darah si laknat besar itu. Belum sempat Abu Jahal mengerang untuk luka pertama itu datang pula Muawwiz Afra’ menetak Abu Jahal dengan tetakan yang kuat. Maka dengan tetakan itulah Abu Jahal menuju ke neraka.

Aiman menyaksikan kepantasan dan keberanian dua anak muda itu dengan kagum dan bersemangat. Tetapi dia hanyalah tukang memberi minum dalam perang ini. Sebelum sempat Muaz Ibnu Amru mengelak ikrimah menetak tangannya. Aiman menjerit ” Muaz!!!” dia berlari ke arah Muaz namun dia ditendang dengan kuat oleh seorang tentera Quraisy lantas terlentang ke belakang. Dia sempat mengerling ke arah Muaz dia mendapati Muaz sedang memutuskan tangannya sendiri. Sungguh mengerikan. Quraisy yang gedempol yang menendangnya tadi menghayunkan pedangnya …

” Aiman, bangun sayang dah subuh ni.” Tiba tiba suara lembut ibunya membangunkannya dari mimpi yang sungguh mengesankan. ” Kenapa ni? Sampai berpeluh anak ummi. Itulah tidur tak pasang kipas.” Ummu Aiman mengelap rintik-rintik peluh di dahi Aiman.

“Aiman mimpi tadi Ummi. Kalau ummi tak kejut tentu Aiman dah sampai ke syurga.” Jawab Aiman sambil menyelak selimutnya.

“Ada-ada saja anak ummi ni. Dah, pergi siap, jangan lupa solat sunat fajar. Abah dah tunggu nak ke masjid.” Suruh ibu Aiman. Aiman lantas membaca doa bangun tidur dan menuju ke bilik mandi.

Aiman ialah anak tunggal sehingga kini. Kanak-kanak seusianya itu seringkali mengalami mimpi-mimpi aneh. Minda peringkat ini memiliki daya imiginasi yang sangat tinggi. Mereka boleh mewujudkan alam khayalan berdasarkan cerita-cerita yang mereka dengar dan juga sogokan-sogokan maklumat lain. Aiman sangat berminat dengan cerita perperangan zaman sahabat. Ibunya sering menceritakan kehebatan pahlawan Islam. Ibunya enggan melihat Aiman menjadi orang yang cintakan dunia dan takut kepada mati. Walaupun Aiman baru berusia 7 tahun dia sudah boleh membaca akhbar. Aiman diajar mengenal huruf sejak umurnya 4 tahun lagi. Aiman boleh mengeja semasa berumur 5 tahun. Ibunya selalu meluangkan masa dengannya.

Ayah Aiman En. Shuib memang seorang yang menitik beratkan kehidupan Muslim dalam keluarganya. Walaupun Aiman anak tunggal dia tidak muakan Aiman dengan mainan-mainan yang tidak mengembangkan minda anak kecil itu. Walaupun Aiman masih kecil dia diajar berdikari. Mengurus masa sendiri. Menjaga kebersihan diri dan juga harta bendanya. Ibunya sering mencernakan rasa syukur dalam peribadi Aiman. Di sekolah Aiman menjadi ketua kelas. Guru dan rakan-rakan senang dengannya. Aiman peramah. Walaupun dia tiada adik atau saudara lain. Ibunya sentiasa memberi perhatian.

“Aiman! Dah siap belum?” laung Encik Shuib.

” Ya ! Aiman turun sekarang.” Aiman mencapai kopiahnya. Begitulah setiap pagi. Walaupun hadith Nabi mengingatkan agar menyuruh anak solat pada umurnya tujuh tahun dan merotan jika mereka enggan pada umur sepuluh tahun. Namun bagi En. Shuib anaknya mesti ringan dan menjaga solat dengan sempurna. Jadi dia biasakan Aiman dari umur lima tahun lagi.

“Ayah! Kita nak ke masjid mana pagi ni?” Soal Aiman.

“Aiman nak pegi masjid mana?” En Shuib melayan sahaja soalan Aiman. Dia suka anaknya berfikir dan juga ingin melihat daya Aiman membuat pilihan.

” Kita pergi masjid Abang Imran lah.” Balas Aiman.

“Kenapa?” sepatah soalan ayah Aiman ingin melihat apakah penilaian anaknya.

“Abang Imran best, lepas solat dia baca sirah.” Jawapan Aiman ini membuktikan minat yang mendalam terhadap sirah kehidupan Nabi umat ini.

“Okaylah as Aiman wish.” Sebagai seorang arkitek dia kadang-kadang suka menggunakan bahasa Inggeris dalam dialognya. Aiman hanya tersenyum. Dia kembali mengelamun.

Selepas solat subuh Ustaz Imran menyampaikan kuliah subuhnya sekitar sepuluh minit. Kali ini Imran menceritakan mengenai bagaimana rasulullah membuka Makkah. Sebagai tafsir ringkas Surah An Nasr. Aiman tekun mendengar cerita Ustaz Imran. Ustaz Imran merupakan saudara jauh ibu Aiman. Rumah Ustaz Imran tidak asing bagi Aiman. Semasa cuti Aiman kerap ke rumahnya untuk meminjam buku. Ustaz Imran masih bujang. Tetapi dia merupakan penulis buku cerita kanak kanak Islam.

“Aiman pulang nanti terus siap untuk ke sekolah tau.” Pesan En. Shuib.

“Okay, ayah nak pegi pejabat awal ke?” Tanya Aiman.

“Ya , ayah nak kena keluar awal sikit. Aiman nak terus ke sekolah ke? Nak singgah pejabat ayah dulu?” Encik Shuib beri peluang kepada anaknya membuat pilihan.

“Pergi teruslah. Nanti menyusahkan pak cik Osman pula.” Berbunga hati Encik Shuib mendengar jawapan anaknya itu.

Aiman berlari ke arah pintu gerbang sekolah dengan beg galasnya yang berwarna merah hitam digalas dari belakang, selepas menjabat dan mencium tangan ayahnya. Encik Shuib mengekori anaknya itu sehingga bayang anaknya itu ditelan oleh dinding papan tanda Sekolah Rendah Al Islah. Kereta proton wira edisi manual itu bergerak perlahan lahan meninggalkan perakarangan sekolah.

Setelah Aiman meletakkan begnya di tempat duduknya dia lantas membuka beg itu lalu mengeluarkan buku bertajuk “Peperangan Uhud Mengajar Erti Taat” , lalu diselak ke muka surat yang sudah ditanda. Dibacanya penuh keghairahan.

“Assalamualaikum”, sapa satu suara. “Boleh saya temankan awak?” seorang kanak kanak berjubah putih dan berserban berdiri di hadapan Aiman.

“Silalah duduk.” Pelawa Aiman.

“Kamu Aiman kan?” sapa kanak kanak tadi.

“Ya! Kamu nama apa? Macam mana kamu kenal saya?” Aiman menyambut tangan anak muda tadi.

“Sayalah Muawwiz yang kamu ikuti semalam.” Aiman baru teringat akan mimpinya.

“Eh! Bagaimana kamu boleh ada di sini? Bukankah kamu telah syahid di medan Badar? ” Aiman teruja sambil mengingati semula buku “Keajaiban Badar” yang dibacanya. Muawwiz tersenyum sungguh pesona senyumnya.

“Ya ! kamu memang sangat beruntung kerana begitu perihatin pada sejarah Islam. Saya cuma ada dalam dunia kamu. Hanya kamu yang melihat saya.” Terang Muawwiz.

“Bagaimana kamu kenal saya?” Aiman mengulang soalannya.

“Saya memang mengenali awak sudah lama. Cukuplah sekadar awak meyakini Allah berkuasa untuk setiap sesuatu.” Aiman tersenyum.

“Erm, awak tahu tentang sejarah silam? Bolehlah awak bercerita kepada saya selalu.” Aiman menunjukkan keghairahannya.

“Saya tahu setakat hayat saya. Tapi saya lebih suka untuk membincangkan tentang keadaan umat hari ini dengan awak.” Jelas Muawwiz.

“Erm, awak tahu mengenai hal sekarang?” Tanya Aiman.

“Sudah tentulah saya tahu. Sekarangkan maklumat mudah didapati.” Jelas Muawwiz.

Muzammil, Muhsin dan juga Fikri sampai. Mereka memberi salam pada Aiman. Aiman menjawab salam mereka. Fikri putih kemerah merahan mukanya. Jelas urat urat hijau di dahinya jika dia cuba untuk menghafal sesuatu. Muhsin pula berkulit sawo matang dan juga gempal sedikit mereka berdua agak akrab. Muzammil berbadan kurus dan juga berambut kerinting. Mereka selalu datang awal kerana mereka menetap di asrama. Muhsin mengeluarkan buku bahasa melayunya untuk menyiapkan kerja rumah yang diberi semalam. Kelas hanya akan bermula dua puluh minit lagi.

Muawwiz hilang dari kelas. Aiman menggaru-garu kepalanya. Muzammil menyapa Aiman, “Tadi ana dengar anta bercakap sesuatu. Anta bercakap dengan siapa?”

Aiman gumam ” Err, ana bercakap dengan Muawwiz Ibnu Afra’.” Beritahu Aiman lurus.

“Sapa tuh? Mana dia?” Muzammil kepeningan.

“Entah! Tiba – tiba dia hilang.” Aiman langsung tidak berselindung.

“Ermm, peliklaa. Anta tau dak orang gila ja cakap soghang-soghang.” Muzammil dengan pelat utaranya memberitahu. Aiman terdiam.

Selesai kelas petang itu Aiman menanti ayahnya di pintu gerbang. Sedang dia duduk meninjau ninjau kemunculan kereta ayahnya dia ditegur oleh Muawwiz.

“Kamu sudah baca akhbar semalam?” Tanya Muawwiz. “Ya, ada saya baca. Kenapa?” Tanya Aiman.

“Kamu ada baca tentang peperangan di Iraq?” soal Muawwiz lagi.

“Ya Amerika menceroboh Iraq. Jahatkan Amerika?” rungut Aiman.

“Mereka memang mencabar umat Islam.” Kata-kata Muawwiz menimbulkan kekesalan pada Aiman.

“Saya malu dengan umat zaman awak, mereka mempertahankan Islam dengan bersungguh sungguh.” Aiman terhenti tatkala mendapati kereta ayahnya berhenti berhampiran mereka. Sekilas dia menoleh ke arah kereta ayahnya Muawwiz telah hilang darinya.

Dia mendapati ibunya sebaik sahaja tiba di rumah.

“Assalamualaikum ummi.” Sapa Aiman bila mendapati ibunya sedang membaca di atas sofa di rumah mereka.

“Waalaikumussalam. Dah balikpun anak ummi ni.” Aiman memeluk ibunya.

“Ermm, busuknya anak Ummi.” Ibunya mengusik Aiman.

“Eh! Mana ada. Ibu, adik sehat?” Aiman mengusap-ngusap perut ibunya.

“Bagi salam pada adik. Dia rindu pada Aiman.” Aiman memberi salam kepada perut ibunya kemudian mengucup perut ibunya.

“Aiman pun rindu pada adik, Ummi” bagitahu Aiman. Sambil tersenyum manis.

Ummi Aiman bertanya “Macam mana di sekolah?”

“Aiman dapat kawan baru, Ummi nama dia Muawwiz.” Cerita Aiman.

“Eh! dah nak habis tahun pun ada orang baru masuk sekolah Aiman?” Tanya ibunya.

“Bukan Ummi, dia bukan belajar sama Aiman. Dia dari medan Badar.”

“Erm, ada-ada saja anak ummi ni. Cikgu ajar apa hari ini?”

Sejak kebelakangan ini ibu Aiman tidak boleh memberi perhatian seperti selalu kepada Aiman kerana mudah keletihan. Mungkin sejak dia sarat membawa adik Aiman dalam perut. Sedikit sebanyak memberi kesan kepada Aiman. Encik Shuib pula sedang sibuk dengan projek baru yang disambar syarikat tempat dia bekerja.

“Muawwiz masa zaman dahulu awak main apa?” Tanya Aiman.

“Dulu kami selalu main gusti, kadang kadang kami pergi berburu. Saya selalu bersama Muaz, dia mahir menggunakan batu.” Cerita Muawwiz.

“Oh! Jadi kamu memang kerap bersama Muaz?”

“Aiman! Tidur sayang. Esok nak ikut ayah ke masjid.” Laung ibunya dari dapur. Selalunya Aiman akan masuk tidur selepas Isya’. Sebagai kanak-kanak dia memerlukan tidur yang cukup.

Suasana dipenuhi dengan sorakan kaum Muslimin. Aiman mencari cari kelompok pemanah yang diketuai Abdullah Ibnu Jubair. Aiman memanjat mencari Abdullah.

“Pak Cik jaga pasukan ini jangan turun.” Abdullah melihat Aiman.

“Siapa kamu? Itulah pesan rasulullah.”

Aiman merasa lapang. “Saya Aiman dari masa akan datang. Kami mengetahui bahawa kaum muslimin akan tewas dalam peperangan ini.”

Abdullah gumam. “Kami takkan kalah dengan izin Allah.” Aiman berlari mencari Abu Dujanah. Dia mencari pahlawan yang paling berani dalam medan Uhud. Setelah melihat serban merah yang dipakai di kepala. Sungguh mukanya penuh keyakinan dan cukup meyakinkan. Tiada mata mampu bertentang dengannya.

Kringggg!!! Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Aiman bangun membaca doa dan menuju bilik air. Dia mengambil wudhu’ dan melangkah ke mihrab yang disediakan di biliknya. Aiman sendiri yang memohon ayahnya membuat sebuah mihrab di kamarnya kerana dia terkesan dengan cerita wanita mulia Maryam ibu Nabi Isa.

Selesai bersolat Aiman berdoa “Ya Allah tolonglah kami menjalani hidup sebagai hambaMu sehingga kami menemuiMu, Ya Allah! Bantulah pejuang-pejuangMu di seluruh muka bumi ini. Amin” kemudian Aiman menyambung tidurnya.

“Muawwiz kamu tahu tak? Saya akan dapat adik nanti.” Tanya Aiman ketika Muawwiz menegurnya pagi ini.

“Tahniah Aiman!” ucap Muawwiz keriangan.

“Tapi nanti kasih ibu ayah akan berbelah bahagi antara kami berdua.” Aiman kegusaran.

“Eh! Kamu patut bersyukur kamu sudah mendapat perhatian penuh selama adik belum ada. Sepatutnya adik kamu yang lebih mencemburui kamu.” Muawwiz membangkitkan rasa syukur.

“Kamu ada adik?” soalan Aiman itu tidak berbalas kerana Muawwiz sudah tiada dipandangan.

Aiman dikejutkan dari lamunan gurunya memanggilnya.

“Aiman, sila ikut cikgu.” Cikgu Aminah mendahului Aiman ke pejabat sekolah. Di pejabat Cikgu Aminah menyerahkan gagang telefon pada Aiman.

“Aiman, Ayah tak dapat ambil Aiman hari ini. Pak Cik Osman akan datang ambil.” Beritahu Encik Shuib.

“Ayah nak ke mana?” soal Aiman minta penjelasan.

“Ayah di hospital. Ibu sakit nak bersalin.” Jelas Encik Shuib.

“Aiman nak terus ke hospitallah.” pinta Aiman.

“Baik, nanti ayah beritahu pak cik Osman. Assalamualaikum.” Talian dimatikan.

“Waalaikumussalam.”jawab Aiman lembut.

Aiman menunggu pakcik Osman di tempat biasa.

“Aiman kamu harus bersyukur.” Muawwiz di sebelah menyapa.

“Sudah tentu! Saya tak sabar nak berjumpa adik saya.” Jawab Aiman ghairah.

“Kamu kena jadikan adik kamu lebih baik dari kamu.” Nasihat Muawwiz.

“Ya ! Dialah mad’u pertama saya.” Balas Aiman.

Sesampai Aiman di hospital ayahnya menyambutnya.

“Aiman dapat adik perempuan.” Beritahu ayahnya.

“Kita letak nama Maryam bolehkan?” Ayah Aiman mengangguk tanda setuju.

” Aiman kena bersabar sayang, Ummi masih koma.” Aiman tidak dapat memahami.

“Koma tu apa ayah?” Encik Shuib terpaksa melayan anak itu.

“Koma itu tak sedarkan diri nak.” Aiman mula sebak.

“Sabar Aiman doalah semoga Allah selamatkan ibu.”Encik Shuib menasihati anaknya sekaligus cuba menenangkan dirinya.

Aiman mengalirkan air mata selepas menyapu kedua tangan ke muka. Sudah tiga hari ibunya masih belum pulang. Aiman terpaksa meneruskan pengajian. Dia banyak menghabiskan masa dengan membaca Al-Quran. Petang itu ayahnya akan membawanya ke hospital untuk memberi sokongan moral pada Ibunya. Sampai sahaja di Hospital Aiman terus ke wad di mana ibunya di tempatkan. Jururawat di situ menyenangi anak kecil itu. Sungguh kendiri peribadinya. Bahkan kelihatan begitu matang.

Aiman sangat bersyukur mendapati ibunya sedang mendukung adiknya Maryam.

“Ibu dah sedar sejak bila?” soal anak kecil itu.

“Berkat doa anak ibu ni, ibu sedar sejak pukul 3.00 pagi tadi.” Kata ibunya sambil senyum tawar .

“Ibu tidur lama sangat.” Rungut Aiman.

“Kesian anak manja ummi nih.” Usik ibunya.

“Eh, mujahid mana manja.” Balas Aiman.

“Kalau ummi tak bangunpun ummi tahu anak ummi ni boleh jaga adik dengan ayah, kan?” ibunya terus menguji.

“Tapi Aiman sayang Ummi.” Air mata mula bergenang. “Eh, Mujahid mana boleh nangis,” Aiman terus memeluk ibu dan adiknya.

Dia menoleh ke arah tingkap pada pintu bilik kelihatan Muawwiz melambai dan melangkah pergi. Itulah kali terakhir Muawwiz muncul di hadapan Aiman. Aiman berbisik sesuatu ke telinga adiknya Maryam Khadijah. Kelihatan bayi itu menguap. Aiman sangat terhibur dengan kehadiran adiknya itu.

-TAMAT-

Posted by: aisyahalhumaira | J000000Jumaat07 20, 2007

Media Barat mahu umat Islam dibenci

media_6_2-11-06.jpg

BERITA HARIAN
10 OGOS 2007

Oleh Khaidir Majid

SELALU diingatkan apabila pemimpin dan hakim menjadi korup, masyarakat juga akan ikut korup. Namun dalam dunia sekarang yang banyak bergantung kepada teknologi maklumat dan komunikasi, boleh juga ditambah jika media korup, masyarakat juga akan ikut korup.

Korup di sini tidak memberi erti memperkayakan diri dengan cara yang haram. Apabila digunakan pada media, ia lebih kepada korup dari segi memutarbelitkan fakta untuk kepentingan sempit golongan tertentu.

Dari segi ini, Islam sudah banyak dan terus menjadi mangsa media Barat, sehinggakan rata-rata masyarakat bukan Islam kini cepat menganggap semua umat Islam adalah pengganas – ‘monster’ yang perlu diperangi.

Contoh terbaru, ialah usaha Channel 4 di United Kingdom (UK) yang membuat ‘journalistic expose’ yang kononnya mendedahkan penceramah masjid di UK menyebarkan ‘mesej benci’ terhadap masyarakat bukan Islam.

Berikutan penyiaran program itu yang diterbitkan oleh syarikat produksi bebas, Hardcash Productions, polis melancarkan siasatan terhadap penceramah terbabit.

Hasil siasatan polis West Midlands agak mengejutkan masyarakat Britain. Bukan penceramah didapati melakukan kesalahan, sebaliknya Channel 4, menerusi syarikat produksi bebas berkenaan, didapati ‘memutarbelitkan’ pandangan penceramah sehingga dipaparkan mereka sebagai ‘pelampau.’

Crown Prosecution Service (CPS) – badan pendakwa raya di Britain – menjelaskan bukti tidak mencukupi untuk mendakwa penceramah yang dipaparkan dalam program Undecover Mosque itu.

Malah, peguam CPS, Bethan David, yang meneliti 56 jam pita rakaman yang dibuat untuk program terbabit, berkata pihaknya mendapati penggunaan sedutan singkat daripada ucapan panjang, memutar-belitkan mesej penceramah terbabit.

David menyimpulkan kes berkenaan membabitkan program televisyen yang sudah melalui penyuntingan yang amat banyak sehingga menyimpangkan konteks apa yang dikatakan penceramah terbabit.

Berikutan itu, CPS dan polis membuat aduan rasmi terhadap Channel 4 kepada badan pengawal selia media, Ofcom atas tuduhan stesen televisyen itu, menerusi program berkenaan, memutarbelitkan fakta.

Syabas kepada polis Britain dan CPS kerana masih memegang kepada kebenaran dan tidak mudah diperdaya oleh laporan media yang ghairah mahu membongkarkan ‘komplot Islam terhadap masyarakat Barat.’

Namun, tidak semua dalam masyarakat Barat mempunyai pegangan yang kuat terhadap kebenaran. Malah, Islam kemungkinan adalah perkara tunggal di Barat yang boleh membuatkan seseorang yang berpendidikan tinggi, berpuas hati untuk memegang prejudis dan bias tanpa usul periksa.

Bayangkan, manusia bijaksana di negara maju boleh mudah mempercayai semua umat Islam (ada 1.3 bilion orang Islam di seluruh dunia) adalah pengganas dan Islam menindas wanita, semata-mata berasaskan apa yang dilaporkan media.

Bayangkan, kebanyakan mereka memegang kepercayaan berkenaan walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman peribadi dalam bergaul dengan umat Islam.

Berikutan persekitaran ini, tidaklah memeranjatkan mengapa buku ‘kajian ilmiah’ seperti The Clash of Civilizations oleh Samuel Huttington laris dijual. Penulis buku itu menyimpulkan akan berlaku satu hari kelak perjuangan sehingga mati antara dunia ‘Barat yang progresif’ dan ‘dunia Islam yang retrograde.’

Apa yang sebenarnya hendak diketengahkan penulis itu ialah doktrin ketuanan orang putih perlu dihidupkan semula. Hanya tamadun orang putih yang layak untuk menguasai dunia, begitulah mesej yang tersirat dalam buku berkenaan.

Namun, dunia masih beruntung kerana ada pemimpin seperti Mohammad Khatami dari Iran yang ketika menjadi presiden negaranya mencadangkan dialog antara tamadun sebagai reaksi kepada teori pertembungan tamadun.

Dunia juga beruntung kerana masih ada tokoh akademik yang berani memegang kepada kebenaran walaupun dikecam hebat oleh masyarakatnya. Profesor Dr Carl W Ernst, penyampai Kuliah Tun Abdul Razak tahun ini adalah di antaranya.

Kecaman yang dihadapinya tidak melunturkan semangat beliau untuk menyelak ‘hijab kejahilan’ yang menutup minda ramai di Barat mengenai kebenaran terhadap Islam.

Buku terbarunya Following Muhammad: Rethinking Islam in the Contemporary World adalah antara usaha ke arah ini.

Mudah-mudahan umat Islam bersama-sama berusaha agar menggagalkan segala agenda mereka yang membencikan kebenaran.

Penulis adalah Pengarang Meja Luar Negara, Berita Harian

Posted by: aisyahalhumaira | J000000Rabu07 20, 2007

Pencemaran Kisah Perkahwinan Rasulullah dengan Zainab Bt Jahsyi

4.jpg

Penyelewengan fakta sirah:

1)
Rasulullah SAW sebenarnya menaruh perasaan cinta terhadap Zainab walaupun ketika itu Zainab bersuamikan Zaid. Kononnya Rasulullah SAW pernah berkunjung ke rumah Zaid dan secara tak sengaja telah terlihat Zainab dalam keadaan terbuka rambutnya di kamarnya tatkala angin meniup hingga menyelak langsir yang terdapat di situ. Baginda amat kagum dengan kecantikan Zainab sehingga terkeluar dari mulut Baginda ungkapan “Subhanaka Maqlubul Quluub” (Maha Sucu Tuhan yang telah membalik-balikkan hati).

Namun Baginda menyembunyikan isi hati Baginda, Perkahwinan Zainab dan Zaid sebenarnya tidak bahagian kerana Zanab tidak menyukai Zaid. Apabila Zaid menceritakan masalah yang sedang dihadapi dalam perkahwinannya bersama Zainab, Baginda tetap menyembunyikan kecintaan Baginda kepada Zainab dan tetap memerintahkan Zaid supaya tidak menceraikan Zainab dan bertaqwa kepada Allah SWT. Kononnya Allah SWT telah menegur sikap baginda ini menerusi firmanNya : “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya).”(Surah Al-Ahzaab, Ayat 37)

2)
Muhammad SAW melihat dengan tidak sengaja isteri anak angkatnya sendiri (Zaid) yang ketika itu tidak lengkap berpakaian, lantas timbul rasa cinta dalam hatinya kepada isteri anak angkatnya itu. Suaminya Zaid terpaksa menceraikan Zainab untuk dikahwini oleh Muhammad. Orang-orang Islam sangat sedih mengenang peristiwa yang berlaku ini. Tuhan telah mewahyukan kepada Muhammad melalui perantaraan Jibril yang datang setiap hari bertemu Baginda ayat-ayat yang mengharuskan Baginda berbuat demikian. Setelah turunnya ayat-ayat tersebut, orang-orang Islam tidak berani bercakap lagi tentang isu tersebut.

——————————————–

Tradisi Masyarakat Arab Quraisy zaman itu.

1)
Golongan Arab Quraisy ketika itu melarang perkahwinan antara perempuannya dengan lelaki yang berketurunan lain wlaaupun lelaki tersebut memiliki kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Semangat Assabiyah (perkauman) masih menjalar dalam masyarakat Arab pada masa itu.

2)
Jika terjadi perkahwinan yang dilarang itu maka sekiranya perempuan Quraisy tersebut diceraikan oleh suaminya, ketika itu dia akan dihina oleh masyarakat dan tidak akan ada sesiapa yang akan sudi berkahwin dengannya.

3)
Status anak angkat disamakan dengan anak kandung. Jika anak angkat seseorang itu menceraikan isterinya, maka bapa angkatnya diharamkan berkahwin dengan bekas isteri anak angkatnya tersebut.

—————————————-

Sirah sebenar:

Demi memecahkan tradisi jahiliyah tersebut, Allah SWT memerintahkan perkahwinan Zaid bin Haritsah RA (anak angkat Rasulullah yang juga bekas hamba baginda yang telah dimerdekakan) dengan Zainab binti Jahsyi RA (sepupu baginda). Pada masa yang sama, Allah juga telah mewahyukan bahawa perkahwinan tersebut akan berakhir dengan penceraian dan Zainab akan menjadi isteri Rasulullah akhirnya.

Ternyata perkahwinan yang dicadangkan oleh Baginda pada Zainab dan ahli keluarganya tidak dipersetujui kerana terpengaruh dengan tradisi seperti yang telah disebutkan. Rasulullah membaca Firman Allah SWT : “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah Al-Ahzaab, Ayat 36).

Maka berlangsunglah perkahwinan Zaid dan Zainab walaupun Zainab asalnya hanya setuju di atas dasar taat kepada perintah Rasulullah. Zainab tetap tidak gembira dengan perkahwinan tersebut dan sikap dinginnya ini disedari oleh Zaid. Zaid mengadu kepada Rasulullah tentang masalah rumahtangga yang sedang dihadapinya namun Rasulullah bersabda : “Jangan ceraikan isteri anda itu dan bertaqwalah kepada Allah.”

Begitulah jawapan baginda setiap kali Zaid menggambarkan perkahwinannya dengan Zainab menuju kehancuran kerana Baginda tahu setelah terjadi penceraian tersebut, Zainab akan menjadi isterinya dan baginda khuatir cemuhan yang bakal menimpa diri baginda kerana amalan ini bertentangan dengan budaya tradisi bangsa Arab Quraisy pada masa itu. Lantaran itu, maka turunlah firman Allah SWT : “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya).“(Surah Al-Ahzaab, Ayat 37)

Al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani berkata: “Sebenarnya apa yang disembunyikan oleh Rasulullah SAW ialah berita yang diberita oleh Allah kepada baginda yang Zainab akan menjadi salah seorang isterinya.”

Setelah turunnya ayat tersebut, Zaid menceraikan Zainab lalu baginda melamarnya untuk dijadikan isteri baginda.

Lantaran itu dua lagi budaya jahiliyah berjaya dihappuskan. Perkahwinan baginda dengan Zainab telah menaikkan martabat Zainab yang pada mulanya telah berkahwin dengan seorang hamba dari keturunan bukan Arab Quraisy. Lazimnya jika terjadi penceraian perempuan seperti Zainab ini, makan tiada siapa yang akan mengahwininya selepas itu. Maka sekali lagi terjadi anjakan paradigma bagi masyarakat Arab dan martabat wanita dimuliakan.

Seterusnya, perkahwinan baginda dengan Zaibab membatalkan budaya Arab Quraisy yang menyamakan status anak angkat dan anak sendiri. Ini merupakan objektif utama perkahwinan baginada dengan Zainab. Mari kita lihat sambungan surah Al-Ahzaab ayat 37 yang sering dinaqal secara separa oleh musuh-musuh Islam : “Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.

Hal ini secara tidak langsung merealisasikan firman Allah SWT dalam membezakan anak angkat dan anak kandung sebagaimana berikut : “….. dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.” (Surah Al-Ahzaab, Ayat 4)

Berbeza dengan kisah palsu yang menjatuhkan maruah Rasulullah SAW, kisah sahih ini menyerlahkan ketinggian akhlak serta peribadi Rasulullah sejajar dengan status enabian Baginda sebagai contoh terbaik bagi sekalian manusia. Firman Allah SWT : “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”(Surah Al-Qalam, Ayat 4)

Sumber : Majalah i keluaran 58
Rujuk juga : buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu DIperbetulkan Semula – Profesor Dr. Ibrahim Ali Sya’wat, Perniagaan Jahabersa, Johor Bharu 2005, ms. 75.

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »

Kategori